Wednesday, June 30, 2004

20 alasan tak perlu lafaz maaf

Kalau kita berbuat salah, sudah tentu kita perlu meminta maaf terlebih
dahulu. Tetapi ada juga di antara kamu yang sering meminta maaf walaupun
hakikatnya bukan kita yang melakukan kesalahan/kesilapan. Demi menjaga
hati ataupun sebagai tanda hormat, kamu yang mengalah. Adakah ini patut
terjadi sedangkan pihak lain terus tersenyum kerana kamu yang memikul
kesalahannya ataupun kamu yang menyerah diri walaupun tahu yang kamu tidak
bersalah?

Jangan begitu! Jika ternyata kesalahan bukanlah berpunca dari kamu,
adalah menjadi hak kamu untuk tidak meminta maaf. Kami telah mengenal
pasti 20 sebab mengapa kamu tidak perlu meminta maaf.

1 - PERASAAN KAMU
Apa yang kamu rasa dan fikir, sepenuhnya adalah hak kamu. Jadi jangan rasa
bersalah kalau apa yang kamu rasakan itu menjadi satu kesalahan walaupun
mungkin kamu sendiri terpaksa bermasam muka dengan orang lain. Kamu berhak
mempertahankan pendapat kamu kerana setiap individu mempunyai sifat ego
tersendiri. Bukan semua orang tahu menghargai perasaan kita sebagaimana
mereka mahu kamu menghargai perasaannya. Bukan semua orang berupaya
menyelami perasaan kamu, selain dari diri kamu sendiri.


2 - LEBIH BERKEBOLEHAN
Mungkin gaji kamu lebih tinggi dari kekasih mu ataupun kamu lebih
berkebolehan dalam bidang tertentu berbanding orang-orang yang terdekat
dengan kamu. Setiap manusia mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Jika
ada orang lain yang tidak dapat menerima keistimewaan kamu, pedulikan
saja!! Kamu harus sentiasa berfikiran positif dan menganggap inilah
kelebihan yang kamu miliki dan bersyukur dengan kurniaan tersebut. Kalau
ada yang mempertikaikan kebolehan itu, katakan saja yang setiap manusia
dilahirkan mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Jangan takut untuk
mengakui kelebihan kamu yang dimiliki kerana anugerah Tuhan tidak harus
dipersiakan!


3 - MASA LALU
Jangan meminta maaf di atas keputusan yang pernah kamu laksanakan di masa
lalu. Ia adalah kerana apa jua keputusan yang kamu lakukan bergantung pada
situasi di saat itu. Walaupun ada yang menentang keputusan yang telah kamu
lakukan, jangan cepat tersentuh. Ingat! Kamu tentunya sudah boleh
berfikir, mana yang baik dan buruk. Segala keputusan adalah terletak di
tangan kamu dan ianya amat mempengaruhi hidup di masa akan datang. Tidak
harus meminta maaf kerana bukan kamu tahu apa yang akan berlaku di masa
depan kan?


4 - MENJADI PERHATIAN
Bukan semua orang meminta dirinya menjadi perhatian. Kamu jangan risau
jika diri mu menjadi perhatian orang. Mungkin ada sebab-sebab tertentu
mengapa kamu yang dipilih berbanding dengan orang lain. Kamu tidak perlu
meminta maaf jika ada yang cemburu kerana kamu yang mendapat lebih
perhatian berbanding mereka. Jika kamu ingin lari dari terus menjadi
perhatian orang, usahakan agar kamu berjaya menghindarinya. Jangan
melibatkan orang lain jika kamu tidak mahu diri dipersalahkan.


5 - MEMUTUSKAN CINTA
Kalau kamu rasa bukan berpunca dari silap kamu, kamu berhak meminta putus.
Untuk apa kamu terus menyeksa diri untuk terus bersama si dia sedangkan
ternyata dia sendiri yang bersalah. Jangan rasa takut untuk melaksanakan
dan kamu juga tidak perlu memaksa diri untuk meminta maaf kerana
perpisahan ini bukanlah yang kamu ingini. Tetapi keadaan yang memaksa!


6 - BERKATA JUJUR
Kejujuran merupakan resipi utama dalam sesebuah perhubungan. Kamu tidak
perlu takut untuk berterus-terang andai ianya mendatangkan kebaikan pada
diri kamu. Walaupun mungkin ia boleh mencetuskan salah faham antara kamu
dan si dia, terpulanglah pada si dia sama ada boleh menerima kejujuran
kamu ataupun tidak.


7 - BERTERUS TERANG
Kita mungkin mampu membohongi orang lain, tapi tidak pada hati sendiri.
Contohnya, kamu sudah tertarik pada orang lain sedangkan kamu baru saja
menjalinkan hubungan dengan si dia. Salah satu sebabnya ialah mungkin kamu
tidak dapat menerima cara si dia. Jalan terbaik ialah dengan
berterus-terang, daripada kamu terus menipu si dia dan diri kamu sendiri.
Nyatakan sebab-sebab mengapa kamu tidak dapat menerima si dia lebih
daripada seorang teman biasa. Daripada kamu terus menyeksa diri kerana
terpaksa menerima si dia, lebih baik kamu bertindak lebih awal lagi agar
perasaan itu tidak terlajak jauh.


8 - TIDAK MENEPATI CITA RASA
Bukanlah perkara yang mustahil untuk kamu mementingkan cita rasa kamu
sendiri. Contohnya dalam memilih pasangan. Untuk apa bersikap hipokrit
andai pasangan yang kamu pilih langsung tidak menepati cita rasa kamu.
Sudah tentu kamu mahu menjalinkan hubungan dalam tempoh yang lama dan
berharap agar ia berkekalan. Lalu kamu sepatutnya mencari si dia yang
mempunyai ciri-ciri yang kamu impikan. Walaupun tidak secara seratus
peratus, sekurang-kurangnya ada juga ciri-ciri tersebut pada diri si dia.


9 - TERUS BERTANYA
Untuk mendapatkan kepastian, tentu kamu harus melemparkan pertanyaan.
Walaupun pertanyaan itu bertubi-tubi, selagi tak mendapat jawapan yang
pasti, selagi itulah kamu tidak akan berpuas hati. Kamu mahu bertanya
sehinggalah kamu faham. Jangan rasa bersalah kalau kamu harus bertanya
berulang-ulang kali. Ada kalanya pertanyaan kamu itu boleh membuatkan
seseorang itu rimas dan bosan, tetapi bukan mudah untuk dia mengakui
kesalahannya ataupun menjelaskan perkara yang sebenarnya.


10- MINTA NAIK GAJI/PANGKAT
Tak salah kalau kamu meminta agar gaji/pangkat kamu dinaikkan setanding
dengan usaha yang telah kamu laksanakan selama ini. Sudah tentu kamu
berusaha bersungguh-sungguh demi memantapkan lagi prestasi dan kualiti
kerja semata-mata untuk syarikat. Jadi tidak salah kalau kamu meminta
imbuhan. Memandangkan kos sara hidup semakin tinggi, kamu juga memerlukan
perbelanjaan yang lebih banyak. Tapi kamu perlu yakin dan lebihkan usaha
di masa akan datang.


11 - MASIH SOLO
Inilah hidup kamu! Walaupun ada kalanya kamu berasa bosan kerana masih
tidak mempunyai kekasih, ia bukan salah kamu. Terpulang pada diri kamu
sama ada ingin mempunyai kekasih ataupun sanggup bersendirian. Soal
cemburu ataupun usikan teman-teman, ketepikan saja. Apa yang penting ialah
soal hidup kamu sendiri. Bukan menjadi satu kesalahan jika kamu memilih
untuk bersendirian. Mungkin kamu perlukan masa untuk mencari pasangan yang
sesuai.


12 - TENTANG KEGEMARAN
Setiap orang mempunyai kegemaran ataupun hobi tertentu. Jangan risau
sekiranya ada yang memperkecilkan hobi kamu. Pertahankan hobi kamu itu dan
katakan yang setiap orang mempunyai perangai yang berbeza. Jangan
malu-malu mengakuinya kerana ia bukanlah mengganggu kehidupan orang lain,
malah menyerikan hidup mu sendiri.


13 - BIJAK DAN AKTIF
Orang yang cantik/kacak tidak semestinya bijak dan aktif. Jangan menilai
paras rupa dalam menentukan tahap kebijaksanaan seseorang. Ia juga tidak
boleh melabelkan seseorang itu aktif ataupun tidak hanya kerana paras
rupa. Kamu patut rasa bertuah kerana dianugerahkan kebijaksanaan dan kamu
juga seorang yang aktif.


14 - MEMINTA BANTUAN
Kalau tidak tahu, eloklah bertanya. Bukan cara terbaik untuk berpura-pura
tahu ataupun segan mahu meminta pertolongan orang lain. Ingat, hidup dalam
budaya bermasyarakat ini harus saling tolong-menolong antara satu sama
lain. Kalau kamu memerlukan bantuan, jangan segan-segan meminta
pertolongan daripada orang yang boleh membantu kamu menyelesaikan masalah.
Jika ada yang mentertawakan kamu kerana perkara kecil pun kamu tidak tahu,
terus-teranglah mengatakan lebih baik bertanya daripada jadi bodoh
sombong! Tak ada faedah langsung!


15 - BUKAN BERPUNCA DARI KAMU
Ada seorang teman memarahi kamu kerana rahsianya terbongkar, sedangkan
kamu bukanlah puncanya. Jadi untuk apa rasa takut kerana bukannya salah
kamu. Berterusteranglah pada si dia yang kamu tidak melakukannya
sebaliknya mungkin ada pihak lain yang cuba mempergunakan nama kamu.
Nyatakan sebab-sebab kukuh dan relevan tentang pengakuan kamu. Yakinkan
dirinya yang kamu seorang penyimpan rahsia yang boleh dipercayai. Kalau
boleh selidiklah siapa yang punya angkara untuk membuktikan kamu
benar-benar tidak bersalah!


16 - PANDU BERHATI-HATI
Salah satu perkara normal yang diperkatakan ialah pemandu wanita suka
memandu perlahan! Selalu juga kena hon. Katakan saja pada diri sendiri
yang kamu ini pemandu berhemah dan berhati-hati di jalan raya. Kalau ada
pemandu lain yang membunyikan hon ataupun memarahi kamu, pedulikan saja.
Janji kamu tidak melanggar peraturan lalu lintas. Kalau setiap kali kamu
meminta maaf jika ada yang membunyikan hon ataupun memarahi kamu, tentu
nanti ada pula yang mengambil kesempatan di atas 'kebaikan' kamu itu.


17 - ORANG MENUDUH KAMU
Jika memang bukan kamu yang lakukan, mengaku saja. Jangan biarkan orang
memaksa kamu mengaku sedangkan kesalahan itu berpunca dari orang lain.
Walaupun mungkin ketika itu kamu agak gelabah kerana digertak, jangan
cepat meminta maaf. Bak kata pepatah, 'Berani kerana benar, takut kerana
salah.' Kalau kamu mengaku, alamatnya kamu akan disalah sangka. Jangan
sesekali mengucapkan 'Saya minta maaf', sedangkan dalam hati kamu
meronta-ronta mengatakan bahawa kamu tidak bersalah dan menjadi mangsa
keadaan.


18 - TIDAK TERLALU MEMENTINGKAN PENAMPILAN
Jangan merendah diri jika ada yang memperkatakan penampilan kamu tidak
sesuai dengan perkembangan semasa. Jangan terlalu mengikut telunjuk orang
dan ini membuatkan diri kamu hipokrit. Jangan takut-takut untuk membantah
kalau ia tidak bersesuaian dengan jiwa kamu. Tapi kalau kamu membantah,
ucapan meminta maaf bukan cara terbaik untuk dilafazkan. Ikut prinsip kamu
dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain.


19 - TIDAK SAMA HALUAN
Kamu mempunyai teman rapat. Ke mana saja pasti berdua bagaikan belangkas.
Tetapi ada beberapa perkara yang kamu tidak boleh melakukan bersamanya
iaitu kamu suka bersukan sedangkan dia gemar menonton wayang. Jika
percanggahan ini berlaku, kamu harus bijak menanganinya. Katakan saja
perkara ini tidak boleh dipaksa. Kamu tidak boleh memaksa dia meminati
sukan dan sebaliknya. Usah minta maaf walaupun ada kalanya tercetus
perselisihan faham. Walaupun rapat, suatu hari nanti, pasti akan membawa
haluan sendiri. Sampai bila hendak bergantung antara satu sama lain.


20 - DIPAKSA
Sukar untuk melakukan sesuatu pekerjaan ataupun perkara yang dipaksa oleh
orang lain. Jika dilakukan juga, timbul rasa jengkel dan tidak ikhlas.
Jadi lebih baik tidak melakukannya dan katakan saja yang kamu tidak suka
dengan tugasan tersebut. Jangan berasa bersalah dan meminta maaf kerana
kamu tidak melakukan tugasan tersebut.

****************************
Me dun feel like writing but rather then close the blog, baca jer laa apa yg ader k..
:-)

No comments: